Suatu kitar haid terbahagi kepada dua fasa.
1. Fasa Folikel - Bermula dari hari pertama haid hingga ovulasi
2. Fasa Luteal - Selepas ovulasi sehingga haid berikutnya
Oleh itu, pemisah antara fasa folikel dan fasa luteal adalah haid dan ovulasi.
Fasa selepas ovulasi dikenali sebagai fasa luteal kerana setelah ovulasi, korpus luteum mula menghasilkan hormon progesteron. Hormon progesteron adalah dominan pada fasa luteal. Ketika aras progesteron ini tinggi, suhu badan akan meningkat dan seterusnya lapisan endometrium dibina sebagai persediaan proses penempelan jika telur berjaya disenyawakan. Lapisan endometrium ini memainkan peranan penting bagi pertumbuhan janin dalam rahim. Oleh itu, jika seseorang wanita tersebut hamil, disebabkan aras Progesteron yang tinggi, suhu badan akan kekal tinggi sebagai inkubator terhadap janin yang terbentuk. Kitar haid akan tertangguh sehingga habis tempoh kehamilan.
Jika tiada persenyawaan berlaku, lapisan endometrium yang dipenuhi dengan saluran darah ini akan runtuh, maka darah bersama-sama dengan kandungan dinding endometrium yang runtuh ini akan keluar sebagai darah haid.
Fasa luteal juga dikenali sebagai Days Past Ovulation (DPO), Tempohnya adalah sekitar 12-14 hari
Fasa folikel adalah tidak tetap kerana ia bergantung kepada bila berlakunya ovulasi manakala ovulasi pula boleh dipengaruhi oleh beberapa faktor seperti stress, pengambilan ubat-ubatan, peningkatan aktiviti-aktiviti harian dan faktor-faktor lain. Jika proses ovulasi terganggu, maka tempoh fasa folikel juga berubah.
Tempoh fasa luteal pula adalah sangat tetap bagi seseorang individu, jika ada perubahan pun tak lebih dari 1 hari.
Berikut adalah suatu 'misconception' bagi seseorang wanita yang mengunakan kaedah kalendar bagi mengira hari-hari subur iaitu mereka kira dari 'depan' iaitu dari fasa folikel sedangkan fasa folikel boleh berubah-ubah. Sebaliknnya, pengiraan hari ovulasi dan hari-hari subur ini sepatutnya dikira dari 'belakang' atau dari fasa luteal ini.
Dengan mengambil kira fakta ini, kita boleh kesan waktu ovulasi dalam sesuatu kitar haid dengan formula berikut:
Tempoh Kitar Haid - Tempoh Fasa Luteal.
Contoh:
Tempoh Kitar Haid = 28 hari
Tempoh Fasa Luteal =12 Hari
Ovulasi : 28-12=16
Oleh itu, ovulasi akan berlaku pada hari ke 16 bagi kitar haid wanita ini.